KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W
PADA 9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH DI LEMBAH URANAH
Wahai manusia,
dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan!!!. Aku tidak mengetahui apakah
aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua
selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan
sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari
ini.
Wahai manusia,
seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan
harta yang diamanahkan kepada kamu
kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah
kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.
Ingatlah bahawa kamu akan menemui tuhan kamu dan
dia pasti akan membuat penghitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’. Olah itu, segala
urusan berkaitan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan
agama kamu. Dia telah berputus asa dalam
menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana
kamu mempunyai hak ke atas para isteri kamu, mereka
juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya
mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak diberi
makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak
kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak
boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang
melakukan zina.
Wahai manusia,
dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah
Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,
tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji
sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap
Muslim adalah saudara Muslim yang lain. Kamu
semua adalah sama, tidak ada seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya
kecuali taqwa dan amal soleh. Ingatlah kamu akan mengadap Allah pada
suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan.
Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan
sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku
dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan
betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara
yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran
dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang
mendengar ucapanku ini menyampaikan kepada orang lain dan hendaklah orang lain
itu menyampaikan pula kepada orang lain dan begitulah seterusnya. Semoga
orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka
yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah
sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu.


No comments:
Post a Comment